Post Category: Routine

Pelembap muka sering kali menjadi perbualan hangat dalam kalangan penggemar rutin penjagaan muka. Hal ini demikian kerana pelembap muka mempunyai pelbagai jenis, formula, bahan-bahan, dan jenama; setiap produk sudah semestinya mempunyai kepentingannya yang tersendiri.

Penggunaan pelembap muka merupakan salah satu penggunaan yang paling penting dalam rutin penjagaan kulit setiap hari. Berikut merupakan antara kepentingan penggunaan pelembap muka:

1. Dapat mengurangkan masalah kulit
Penggunaan pelembap muka dapat mengurangkan masalah kulit kerana penggunaan yang betul akan membantu kulit untuk menetapkan keseimbangan keadaan kulit. Keadaan kulit muka yang tidak seimbang (sama ada terlalu kering atau terlalu berminyak) akan menyebabkan masalah kulit seperti jerawat. Pemilihan produk pelembap muka juga memainkan peranan yang besar bagi mengelakkan masalah kulit berlaku. Baca artikel Tips Memilih Pelembap Mengikut Jenis Kulit untuk mengetahui jenis pelembap muka yang sesuai dengan jenis kulit muka anda.

2. Dapat menjadikan kulit tampak lebih muda dan segar
Penggunaan pelembap muka secara konsisten dan juga pelembap muka yang tepat dengan keperluan kulit akan membantu kulit untuk memperbaik bahagian-bahagian yang sensitif. Hal ini demikian kerana bahagian muka kita terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang boleh memudaratkan kulit seperti habuk, asap, dan sebagainya. Sesetengah orang juga memiliki kulit muka yang sensitif apabila muka mereka terdedah dengan keadaan sekeliling yang tercemar. Oleh sebab itu, penggunaan pelembap dapat membantu kulit muka untuk memperbaik bahagian yang sensitif itu. Hal ini akan mengurangkan kadar penuaan kulit dan wajah akan kelihatan lebih muda.

3. Dapat mengurangkan kedutan muka
Tidak dapat disangkal lagi apabila penggunaan pelembap dapat mengurangkan kedutan pada muka. Hal ini demikian kerana kulit yang dijaga dengan baik oleh ejen pelembap, dan juga ditambah dengan penggunaan krim pelindung cahaya UV, akan mampu untuk mempamerkan kulit wajah yang kurang dengan kedutan walaupun pengguna sudah bertambah usia. Oleh sebab itu, penggunaan pelembap yang tepat amatlah penting supaya kulit akan pendapat kepentingan yang sewajarnya.

4. Dapat mengurangkan kecelaan pada muka
Kecelaan muka yang sering kali diperkatakan ialah bintik-bintik hitam, bintik-bintik merah, warna kulit tidak sekata dan sebagainya. Segala kecelaan ini dapat dikurangkan dengan penggunaan pelembap muka secara konsisten dan juga memilih pelembap yang mempunyai ejen yang bagus untuk kulit. Pastikan juga anda mengkaji keperluan kulit anda dengan memilih pelembap yang sesuai bagi mengurangkan kecelaan pada wajah.

5. Sebagai pelindung kepada produk lain
Pelembap juga berfungsi sebagai pelindung atau kunci kepada semua produk yang digunakan. Hal ini demikian kerana pelembap lazimnya digunakan sebagai langkah terakhir dalam rutin (sekiranya rutin pagi, pelembap muka merupakan pelembap kedua terakhir sebelum krim pelindung cahaya UV). Hal ini amat penting kerana sekiranya anda menggunakan produk yang mengandungi retinoid, asid salisilik, benzoil peroksida dan sebagainya, dan tidak menggunakan pelembap untuk langkah seterusnya, kulit anda mungkin akan berasa tidak selesa dan akan menyebabkan kesan seperti kemerah-merahan dan juga pengelupasan. Oleh sebab itu, pelembap muka amatlah penting bagi melindungi kulit wajah.

Lazimnya, terdapat banyak kepentingan penggunaan pelembap muka. Penggunaan pelembap tidak seharusnya diabaikan kerana mungkin kulit muka akan mengalami kesan-kesan sampingan pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.