Post Category: Routine

Pelbagai produk baharu sama ada dari dalam atau luar negara dikeluarkan oleh setiap jenama bagi meluaskan rangkaian produk mereka. Sudah semestinya setiap produk mempunyai fungsi yang ditambah baik bagi memberikan pengalaman yang optimum kepada pengguna. Sebagai pengguna sesuatu produk baharu yang belum pernah dicuba sebelum ini, berikut merupakan beberapa langkah yang perlu diikuti bagi memastikan cara penggunaan dan penyimpanan produk dalam keadaan yang baik:

1. Semak keadaan bekas produk

Hal ini penting sekiranya membeli produk atas talian. Keadaan bekas perlulah sempurna dan tidak mempunyai cela bagi memastikan keberkesanan produk tersebut. Sekiranya bekas produk telah rosak, berlubang atau pecah, tidak digalakkan untuk menggunakan produk itu. Hal ini demikian kerana kemungkinan produk tersebut telah tercemar dengan bakteria luar yang boleh merosakkan bahan-bahan yang terdapat dalam produk. Apa yang perlu dilakukan untuk mengelak membeli produk dengan bekas yang rosak? Hubungi penjual produk atau sekiranya membeli daripada pihak HQ, hubungi mereka secara langsung di talian yang sah.

2. Semak tarikh pengeluaran dan jangka hayat produk

Sesetengah produk boleh bertahan selama bertahun, tetapi produk penjagaan kulit yang masih belum dibuka hanya boleh bertahan dalam jangka masa setahun atau dua tahun. Selepas produk tersebut dibuka, produk perlu digunakan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Rujuk kepada simbol berikut untuk mengetahui jangka hayat keberkesanan produk selepas dibuka (juga dikenali sebagai Period After Opening [PAO]):

 

Untuk mengelakkan kekeliruan tarikh, tulis tarikh produk dibuka pada bekas produk. Setiap produk Kayman mempunyai label khas untuk tulis tarikh pada belakang produk:

Label “Opening Date” pada bahagian belakang CoalBerry Cleanser dan Skintella Moisturizing Gel.

3. Simpan dengan teliti

Terdapat produk yang sensitif kepada cahaya matahari, ataupun perlu disimpan dalam suhu yang tertentu. Oleh itu, kesesuaian tempat menyimpan produk juga amat penting. Kenal pasti cara penyimpanan yang efektif bagi mendapatkan kadar keberkesanan produk terbaik. Salah satu caranya adalah dengan membaca panduan yang diberikan.

4. Melakukan patch test

Patch test ialah satu kaedah untuk menguji tahap tindak balas kulit terhadap sesuatu produk ataupun bahan yang diformulasi dalam produk tersebut. Patch test membantu mengelakkan tindak balas yang kurang baik daripada memberi kesan kepada seluruh muka. Sekiranya produk baharu tidak sesuai dengan kulit, satu bahagian kulit sahaja yang terkesan dan bukan seluruh muka. Dengan melakukan patch test, lebih mudah untuk pulihkan satu bahagian muka tersebut berbanding dengan seluruh kulit muka, sekiranya produk baharu tidak sesuai dengan kulit.

Untuk buat patch test, letakkan sedikit produk pada satu bahagian muka sahaja, seperti pada bahagian rahang. Sekiranya kulit tidak mengalami tindak balas negatif seperti kegatalan, kemerah-merahan, atau sebarang rasa tidak selesa, maknanya produk itu selamat digunakan. Sekiranya kulit mengalami tindak balas negatif tersebut, disarankan untuk berhenti menggunakan produk dan sekiranya kulit memberi reaksi yang bertambah buruk, rujuk kepada pakar kulit yang bertauliah.

5. Cuba produk baharu satu per satu

Sekiranya ingin mencuba produk baharu, pastikan produk tersebut dimasukkan ke dalam rutin sedia ada satu per satu. Elakkan mencuba beberapa produk baharu pada satu masa.

Ini adalah sebagai langkah “keselamatan” supaya sekiranya produk baharu tersebut tidak sesuai dengan kulit, reaksi negatif masih terkawal dan lebih senang dirawat. Sekiranya pelbagai produk baharu dicuba pada satu masa dan mengakibatkan reaksi negatif, lebih susah untuk kenalpasti produk yang berkesan atau tidak, dan juga lebih susah untuk mengawal reaksi negatif tersebut pada kulit muka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.