Post Category: Routine

Bagi mereka yang sememangnya melakukan rutin penjagaan kulit, sudah tentu pernah mendengar beberapa “tip” sama ada tentang cara penggunaan produk atau tabiat gaya hidup. Namun begitu, beberapa tip tersebut mungkin ialah mitos yang tidak pun membawa sebarang manfaat. Mari lihat beberapa mitos popular dalam dunia penjagaan kulit:

1. Kulit berminyak tidak memerlukan pelembap muka

Ada yang menyatakan penggunaan pelembap muka atau moisturizer untuk orang yang mempunyai kulit berminyak akan membuatkan kulit menjadi lebih berminyak. Kenyataan ini tidak tepat. Kulit berminyak sebenarnya ialah kulit yang mengeluarkan minyak berlebihan untuk imbangkan kulit yang dehidrasi atau tidak cukup kandungan air.

Oleh itu, amatlah penting untuk pastikan kulit cukup hidrasi dan pelembap digunakan pada penghujung rutin. Hal ini adalah kerana pelembap muka juga berfungsi sebagai lapisan pelindung kepada produk yang digunakan sebelumnya, selain bertindak sebagai egen pelembap pada kulit muka. Pelembap muka mempunyai banyak kelebihan dan juga datang dalam pelbagai bentuk dan jenis. Sudah tentu ada pelembap muka yang sesuai untuk setiap jenis kulit, mengikut keperluan individu.

2. Liang pori boleh ditutup dan dibuka

Antara tip “popular” penjagaan kulit ialah menggunakan air panas atau wap untuk “membuka” liang pori dan kemudian menggunakan air sejuk untuk “menutup” semula pori setelah kotoran dikeluarkan. Tip ini juga ialah mitos kerana liang pori tidak mempunyai otot atau apa-apa yang membolehkan liang pori bergerak sebegitu. Saiz liang pori ditentukan oleh faktor genetik dan tidak boleh diubah dengan produk penjagaan kulit semata, melainkan dengan prosedur kecantikan seperti laser.

Selain faktor genetik, pori juga boleh kelihatan lebih ketara sekiranya tersumbat. Liang pori boleh tersumbat akibat kotoran persekitaran, sel kulit mati terkumpul, atau sisa produk penjagaan kulit atau solekan yang tidak dibersihkan sepenuhnya. Namun begitu, penampilan pori boleh diubah atau “dimanipulasi” untuk kelihatan kurang ketara. Caranya adalah dengan memastikan kulit cukup hidrasi dan gunakan pelembap, membuat double cleansing untuk pastikan pori bersih dan tidak tersumbat, serta mengeksfoliasi wajah untuk membuang sel kulit mati.

3. Eksfoliasi boleh dilakukan secara kerap

Eksfoliasi wajah dilakukan agar kulit kelihatan lebih berseri dan tidak kusam akibat sel kulit mati terkumpul. Walau bagaimanapun, sekiranya eksfoliasi wajah dilakukan secara kerap sehingga berlebihan, kulit berpotensi menjadi sensitif dan mungkin rosak.

Akibat daripada eksfoliasi secara berlebihan, kulit boleh menjadi kemerah-merahan, mengelupas, merekah, pedih, dan juga merengsa. Oleh sebab itu, kaedah eksfoliasi dinasihatkan untuk dilakukan sekali atau dua kali dalam seminggu sahaja. Sekiranya masalah kulit berlarutan, dinasihatkan berjumpa dengan pakar kulit.

4. Lebih banyak produk, lebih bagus!

Kenyataan ini boleh jadi betul dan salah, mengikut keadaan. Hal ini demikian kerana jumlah produk yang digunakan sebenarnya bergantung kepada keperluan kulit setiap individu. Penggunaaan produk yang banyak ini ialah pengaruh daripada 10 langkah penjagaan kulit yang dipopularkan oleh warga Korea. Namun begitu, tidak semua orang sesuai untuk melakukan rutin penjagaan muka yang panjang. Setiap individu mempunyai keadaan dan masalah kulit yang berbeza. Perkara yang paling penting adalah untuk mengenal pasti keadaan dan masalah kulit yang perlu diutamakan serta memilih produk yang betul-betul bersesuaian bagi merawat masalah kulit tersebut.

5. Tidak perlu gunakan krim pelindung cahaya matahari ketika di rumah

Kenyataan ini juga adalah betul dan salah berdasarkan situasi. Betul sekiranya rumah terlindung daripada sinaran UV, seperti dengan tingkap berkaca gelap atau penggunaan langsir anti-UV yang tebal dan menghalang pendedahan terhadap cahaya matahari.

Kenyataan ini juga boleh jadi salah kerana krim pelindung cahaya matahari mampu melindungi kulit daripada sinar lampu dan juga cahaya matahari yang menembusi tingkap. Aktiviti harian yang dilakukan seperti menyiram pokok bunga ataupun menyidai kain di ruang yang terdedah dengan cahaya matahari, akan menyebabkan kulit terdedah kepada cahaya matahari tersebut. Oleh sebab itu, krim pelindung cahaya matahari tetap perlu digunakan setiap hari tanpa mengira keberadaan, sama ada di dalam ataupun di luar rumah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.