Anda mesti pernah terdengar atau terbaca tentang penyegar atau lebih dikenali sebagai toner yang selalu dilabelkan sebagai sesuatu produk yang tinggi kandungan alkohol dan lebih berfaedah untuk mereka yang mempunyai kulit berminyak oleh kerana fungsinya yang dikatakan dapat membantu untuk mengawal proses pengeluaran sebum dan membersihkan sisa-sisa kotoran dan minyak yang masih tertinggal selepas mencuci muka.
Terima kasih kepada dunia kecantikan di Asia, kenyataan di atas sudah tidak boleh digunapakai lagi oleh kerana kini terdapat pelbagai jenis toner yang ada di pasaran hasil dari pengaruh industri kecantikan Asia terutamanya dari Korea dan Jepun yang semakin mendapat tempat di hati pengguna seluruh dunia.
Toner tidak lagi hanya dikenali sebagai produk yang mengeringkan serta meninggalkan kesan pedih pada wajah tetapi mempunyai fungsi yang lebih pelbagai dengan formulasi yang lebih lembut pada kulit.
Jenis-jenis toner & fungsinya :
TONER ASTRINGEN (ASTRINGENT TONER)
Toner astringen merupakan jenis toner yang mempunyai bahan-bahan yang bersifat anti- bakteria dan dapat membantu untuk mengawal pengeluaran sebum. Oleh itu, toner jenis ini lebih sesuai untuk digunakan oleh mereka yang mempunyai kulit yang berminyak serta kulit yang cenderung untuk berjerawat.
Manakala, untuk mereka yang mempunyai kulit yang kering serta sensitif adalah tidak digalakkan untuk menggunakan toner jenis astringen ini kerana ia berpotensi untuk membuatkan kulit menjadi semakin kering.
Disebabkan fungsi utama toner astringen ini adalah untuk menyingkir sebum yang berlebihan, maka kebiasaannya ia mengandungi bahan-bahan yang bersifat mengeringkan seperti alkohol, ‘witch hazel’, minyak ‘tea tree’, asid salisilik (salicylic acid) dan lain-lain. Adalah digalakkan untuk anda mencari toner astringen yang tidak mengandungi atau mempunyai kadar peratusan alkohol yang rendah supaya ‘acid mantle’ kulit tetap terjaga dan tidak menyebabkan kulit menjadi dehidrasi atau kerengsaan.
Thayers Witch Hazel Toner
TONER PENGHIDRATAN (HYDRATING TONER)
Toner penghidratan adalah sejenis toner yang sangat membantu untuk memberikan kelembapan ekstra pada kulit oleh kerana kandungannya yang tinggi humektan dan kadang-kala mengandungi sedikit emolien untuk kesan lembapan yang lebih maksima. Terdapatpelbagai jenis toner penghidratan yang ada di pasaran yang berbeza bukan saja dari bahan aktif yang digunakan malah tekstur dan konsistensi juga berlainan mengikut formulasi produk tersebut.
Menariknya, ia bukan saja mampu menghidratkan kulit malah terdapat banyak toner jenis ini yang menawarkan kesan tambahan seperti mencerahkan dan anti- penuaan.
Toner jenis ini sesuai untuk semua jenis kulit terutamanya yang berkulit kering. Walau bagaimanapun, anda perlu memilih konsistensi mengikut keselesaan dan kesesuaian kulit anda kerana terdapat toner penghidratan yang jenis ringan seperti air, sedikit pekat dan sebagainya,. Toner penghidratan juga dikenali sebagai ‘lotion’ di Jepun. Kebiasaannya, toner ini diaplikasikan dengan menggunakan tapak tangan kerana ia dikatakan dapat memaksimakan kesan penghidratan dari toner tersebut.
Klair's Supple Preparation Facial Toner
TONER PENENANG (‘SOOTHING’ TONER)
Seperti namanya, toner ini berfungsi untuk memberikan kesan menenangkan pada kulit terutamanya untuk mereka yang mempunyai kulit yang sensitif dan mudah iritasi. Toner jenis ini selalunya mempunya formulasi yang lembut pada kulit, bebas alcohol, pewangi atau sebarang bahan yang berpotensi untuk mendatangkan kerengsaan pada kulit. Jenis bahan-bahan yang selalu digunakan sudah semestinya yang mampu memberikan kesan ‘soothing’ atau ‘calming’ seperti ekstrak teh hijau, ekstrak pegaga, ekstrak kamomil, niacinamide dan sebagainya.
Selain daripada kesan menenangkan, ia juga mempunyai fungsi asas toner seperti membantu untuk membersihkan sisa-sisa kotoran selepas mencuci muka, menstabilkan pH kulit dan menyediakan kulit untuk langkah penjagaan yang seterusnya. Secara am nya, toner jenis ‘soothing’ ini mempunyai sedikit atau tiada kesan penghidratan oleh kerana teksturnya yang agak cair dan cara aplikasi yang kebiasaannya menggunakan kapas muka.
Simple Soothing Facial Toner
TONER PELARASAN PH (‘PH-ADJUSTING’ TONER)
Di Malaysia, masih ramai yang tidak biasa atau sedar dengan penggunaan ‘pH-adjusting’ toner kerana tidak banyak jenama yang mengeluarkan toner jenis ini dan keperluan untuk menggunakan toner ini semakin berkurangan oleh kerana semakin ramai pengguna yang beralih kepada pembersih muka yang mempunyai pH rendah. Toner ini berperanan untuk menurunkan pH kulit sejurus selepas mencuci muka terutamanya apabila anda menggunakan pencuci muka yang mempunyai pH agak tinggi seperti pH 7 dan ke atas.
Toner ini digunakan sebagai persediaan sebelum menggunakan produk jenis pengelupasan atau jenis asid yang memerlukan kulit anda dalam keadaan pH yang rendah untuk berfungsi secara efektif dan memberikan kesan yang maksimum seperti toner pengelupasan dan serum vitamin C tulen. Oleh kerana hal yang demikian, toner ini kebiasaannya mempunyai pH yang agak rendah iaitu sekitar pH 4.0 – 5.0 dan mempunyai kandungan yang agak ‘straight-forward’. Jika anda mempunyai pembersih muka yang ber-pH rendah, toner jenis ini
bukanlah satu keperluan.
Cosrx AHA/BHA Clarifying Treatment Toner
TONER PENGELUPASAN (EXFOLIATING TONER)
Toner pengelupasan atau nama lainnya, toner asid, adalah sejenis toner yang digunakan untuk tujuan membuang sel kulit mati sekaligus menggantikan penggunaan skrub wajah. Tidak seperti toner lain, frekuensi penggunaan toner jenis ini hendaklah berpandukan pada formulasi produk tersebut serta ketahanan dan toleransi kulit masing-masing. Toner ini menggunakan kandungan yang berasaskan asid seperti Asid Laktik, Asid Mandelik, atau Asid Glikolik yang merupakan sejenis asid alfa hidroksi (AHA) serta asid lain seperti asid beta hidroksi (BHA) dan asid poli hidroksi (PHA).
Oleh kerana fungsinya yang bertujuan untuk pengelupasan, adalah tidak digalakkan untuk menggunakan toner jenis ini dua kali sehari, setiap hari kerana kemungkinan ada risiko untuk anda mengalami kesan ‘over-exfoliate’. Walau bagaimanapun, ia adalah bergantung pada pH produk, peratusan konsentrasi bahan aktif serta jenis asid yang digunakan di dalam toner tersebut. Toner pengelupasan kebiasaannya diaplikasi dengan menggunakan kapas. Ia mampu untuk memberikan kesan ‘smooth’ pada kulit, memudarkan parut serta membersihkan pori yang tersumbat.
The Ordinary Glycolic Acid 7% Toning Solution
Kesimpulannya, produk penyegar bukan lagi hanya terdapat dalam bentuk astringen malah pelbagai jenis penyegar/toner di pasaran yang boleh dipilih mengikut keperluan kulit. Sesetengah orang mungkin berpendapat yang ia bukan lah satu keperluan asas dalam rutin penjagaan kulit tetapi dengan kewujudan toner yang berbagai fungsi pada masa kini pasti sedikit sebanyak dapat membantu dan memberikan manfaat pada setiap jenis kulit.Selamat mencuba!
About The Writer