Tips Memilih Pelembap Mengikut Jenis Kulit

Published:Fri, Oct 25, 2019
Tips Memilih Pelembap Mengikut Jenis Kulit

Ramai yang beranggapan bahawa pelembap atau ‘moisturizer’ berfungsi untuk menambah kelembapan pada kulit tetapi hakikatnya anggapan itu adalah kurang tepat. Hal ini demikian kerana fungsi pelembap adalah untuk membantu kulit mengurangkan kadar kehilangan air transepidermal (transepidermal water loss – TEWL) kerana kadar TEWL ini akan meningkat seiring dengan usia dan atas faktor tekanan atau ancaman dari luaran yang boleh melemahkan skin barrier.

Sesuatu produk pelembap yang baik hendaklah mengandungi beberapa kombinasi kandungan ejen pelembap (moisturizing agent) yang bukan sahaja dapat menarik bahkan memerangkap air yang tersedia ada di dalam kulit agar tidak mudah tersejat pada persekitaran luaran.
 

JENIS-JENIS EJEN PELEMBAP

 
HUMEKTAN (HUMECTANTS)

Humektan berfungsi untuk melembabkan kulit dengan membantu membawa keluar lembapan daripada dalam kulit (dermis) dan menarik molekul air daripada udara ke permukaan kulit (epidermis). Namun begitu, agen pelembap jenis ini TIDAK membentuk lapisan atau barrier pada permukaan kulit bagi mengelakkan kehilangan air (water loss) pada kulit. Humektan merupakan agen pelembap yang paling kerap digunakan dalam produk penjagaan kulit kerana sifatnya yang serba boleh (versatile). Anda bukan sahaja akan menjumpai bahan ini di dalam pelembab, malah hampir semua produk penjagaan kulit dan juga kosmetik.

Antara contoh bahan humektan ialah asid hyaluronic (hyaluronic acid), gliserin (glycerine), urea, ekstrak lidah buaya (aloe vera), asid amino (amino acid), ekstrak madu, allantoin, panthenol, dan lain-lain.
 
EMOLIEN (EMMOLIENTS)

Emolien ialah lipid (lemak) dan minyak yang menyerupai lipid serta minyak asli pada kulit. Ejen pelembap ini bertindak dengan mengisi ruang atau gaps di antara sel-sel kulit yang kehilangan moisturizing lipids. Emolien mampu untuk melembutkan dan menghaluskan kawasan kulit yang kasar dan tompok kering.

Emolien juga dapat membantu untuk menguatkan ketahanan kulit bagi memastikan kulit sentiasa dalam keadaan lembap. Sesetengah bahan emolien juga merupakan bahan untuk ejen oklusif (occlusive).

Antara contoh bahan emolien ialah seramida (ceramide), mentega shea (shea butter), squalene, asid lemak (fatty acids), minyak tumbuhan, cetyl alcohol, dan lain-lain.
 
OKLUSIF (OCCLUSIVES)

Oklusif membantu untuk mengelakkan kulit daripada kekurangan kadar air dengan membentuk lapisan perlindungan pada epidermis yang berfungsi untuk mengunci kelembapan kulit. Oklusif merupakan ejen pelembab yang paling tebal dan berat daripada segi tekstur terutamanya bahan oklusif yang berasaskan minyak kerana oklusif cenderung untuk meninggalkan kesan berminyak (waxy) pada kulit. Malah, sesetengah bahan oklusif ini mempunyai potensi untuk menyumbatkan pori dan menyebabkan jerawat.

Antara contoh bahan oklusif ialah minyak mineral (mineral oil), jeli petroleum/petrolatum (petroleum jelly/petrolatum), lanolin, mentega koko (cocoa butter), silikon, minyak kastor, penggilap berlilin (wax) dan lain lain.

Sumber : www.botaneri.com

 

PEMILIHAN JENIS PELEMBAP MENGIKUT JENIS KULIT


 Kebiasaannya, pelembab yang ada di pasaran mengandungi kombinasi daripada ejen-ejen pelembab di atas dengan kadar peratusan yang berlainan sekaligus menghasilkan tekstur dan pengalaman yang berbeza mengikut jenis kulit. Sebagai contoh, jika pelembab tersebut mengandungi peratusan humektan yang tinggi, maka pelembab tersebut biasanya mempunyai tekstur yang lebih berair (watery) dan ringan pada kulit.

Jadi, bagaimana hendak membuat pilihan? Berikut ialah senarai pelembab mengikut jenis tekstur produk tersebut:
 
PELEMBAB JENIS GEL

Pelembab jenis ini selalunya berasaskan air, mempunyai tekstur berbentuk jeli, ringan pada kulit dan bebas minyak (oil-free). Pelembab jenis gel mengandungi peratusan humektan yang tinggi dan sedikit bahan emolien atau oklusif.

Pelembab jenis gel sangat sesuai untuk kulit yang berminyak, kulit yang cenderung kepada pertumbuhan jerawat atau kulit yang mempunyai pori tersumbat. Hal ini demikian kerana kulit jenis ini selalunya lebih memerlukan bahan yang bersifat berair (watery) berbanding bahan yang berminyak.

Benton Aloe Propolis Soothing Gel

 
PELEMBAB JENIS ‘WATERY CREAM’ ATAU ‘GEL-CREAM’

Pelembab jenis krim berair (watery cream) mempunyai tekstur yang sedikit tebal berbanding gel tetapi pada masa yang sama lebih ringan berbanding krim.

Pelembab jenis ini masih dikategorikan sebagai pelembab berasaskan air (water-based). Pelembab ini tidak meninggalkan kesan berminyak apabila disapu pada kulit, malah lebih melembabkan berbanding pelembab jenis gel.

Pelembab ini juga sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit jenis kombinasi hingga yang berminyak kerana kulit jenis ini selalunya memerlukan sesuatu yang boleh memberikan keseimbangan air dan minyak pada kulit.

Dr. Jart Cicapair Calming Gel Cream


PELEMBAB JENIS ‘EMULSION’

Dipopularkan oleh industri kecantikan dari Korea, pelembab jenis emulsion mempunyai formulasi seperti losyen yang ringan tetapi konsistensinya lebih berair (watery). Pelembab jenis ini lebih mudah menyerap dalam kulit tetapi mampu meninggalkan kesan lembab bergantung pada jenis produk dan jenis kulit. Untuk sesetengah kulit, terutamanya kulit yang berminyak, emulsion ini boleh dijadikan sebagai pelembab. Manakala untuk kulit yang lebih kering, anda masih boleh menggunakannya dan diikuti dengan pelembab yang lebih padat untuk memberikan kesan kelembapan yang maksimum.

Thank You Farmer True Water Deep Emulsion


 
PELEMBAB JENIS LOSYEN DAN KRIM

Pelembab jenis losyen merupakan salah satu jenis krim tetapi selalunya lebih ringan dan kurang padat berbanding krim biasa. Pelembab jenis ini mempunyai peratusan kandungan emolien atau oklusif yang lebih rendah berbanding krim.

Pelembab jenis ini sesuai untuk kulit kombinasi atau kulit yang mengalami masalah dehidrasi. Hal ini demikian kerana, pelembab jenis ini bersifat ringan tetapi pada masa yang sama mampu untuk memberikan kelembapan yang berpanjangan.

Pelembab jenis krim pula lebih padat dan bersifat lebih berkrim (creamy) daripada segi tekstur dan boleh meninggalkan kesan berminyak atau bersinar (shiny) untuk sesetengah jenis kulit. Kebiasaannya pelembab jenis ini mengandungi kandungan emolien atau oklusif yang tinggi iaitu sekitar 50%.

Pelembab jenis ini sesuai untuk kulit kering dan sensitif kerana apabila disapu pada kulit, pelembab ini akan meninggalkan satu lapisan kelembapan yang membantu untuk memerangkap kelembapan dalam kulit.

Essano Rosehip Regenerating Facial Moisturizer

 
PELEMBAB JENIS ‘OINTMENT’

Pelembab jenis ini adalah yang paling berat dan sangat berminyak kerana pelembab ini merupakan  pelembab yang berasaskan oklusif  (occlusive-based).

Kebiasaannya, pelembab jenis ini digunakan untuk rawatan intensif bagi merawat kawasan kulit yang mempunyai masalah merekah atau pecah.

Pelembab ini juga diformulasi dengan kandungan minyak sekitar 80% dan kandungan air sekitar 20%.

CeraVe Healing Ointment

 
Kesimpulannya, terdapat pelbagai variasi pelembab yang boleh didapati di pasaran. Tips di atas hanyalah sebagai panduan umum tetapi hasilnya bergantung pada formulasi produk tersebut serta penerimaan kulit masing-masing. Perkara yang paling penting adalah tidak kira apa-apa saja pelembab yang anda gunakan, pastikan pelembab tersebut selesa pada kulit dan mampu memberikan kelembapan yang mencukupi.
 

Info Penulis